LANGKAWI: Seorang peserta acara kayuhan berbasikal maut apabila terlibat nahas dengan sebuah kereta di Jalan Kuala Muda, Langkawi.
Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari, berkata kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa Low Beng Seng, 28, dari Langkawi maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Beliau berkata, Bilik Gerakan IPD Langkawi menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan kira-kira 8.45 pagi.
“Siasatan awal mendapati, mangsa sedang berkayuh dengan beberapa pelumba kelompok belakang dalam acara kayuhan sejauh 68km.
“Tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai cuba mengelak daripada bergesel dengan pelumba lain mengakibatkannya tercampak ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu wanita berusia 26 tahun, datang dari arah hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular satu di media sosial video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian kemalangan tersebut.