KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak spekulasi bahawa faktor kesihatan menghalangnya daripada memimpin parti.
Dalam temu bual bersama Malaysia Gazette malam tadi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan beliau masih berupaya melaksanakan tanggungjawabnya.
“Berapa kali saya hadir mesyuarat, majlis dan program parti? Ada bukti saya gagal atau tidak hadir? Kalau saya tidak mampu, saya tidak akan duduk di situ dan rosakkan parti sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai desas-desus kononnya ada pihak mahu menggantikan beliau, Muhyiddin berkata ia perlu dilakukan mengikut perlembagaan parti.
“Ini parti yang saya bina. Kalau ada yang nak ambil alih, tiada masalah, tapi mesti ikut undang-undang. Tiada sebab untuk berebut jawatan,” tegas bekas perdana menteri itu.
Spekulasi mengenai kesihatan Ahli Parlimen Pagoh itu timbul selepas bekas Ketua Bersatu Sungai Besar, Hasnizam Adham mendakwa beliau dimasukkan ke hospital.
Namun, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menepis dakwaan itu dengan menegaskan Muhyiddin masih sihat dan aktif.
Muhyiddin dalam pada itu mengingatkan semua pihak supaya mengelak daripada menimbulkan isu yang boleh mencetuskan perpecahan dalaman.
“Semua ahli berhak bersuara, tetapi perlu ikut peraturan. Jika ada perkara yang boleh menjejaskan parti, saya tidak akan berdiam diri dan akan menegur dengan berhemah,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap masa depan Bersatu, terutama dengan kerjasama Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Azmin bersama barisan kepimpinan lain.