KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan keputusan koroner yang sebelum ini membenarkan peguam mewakili lima remaja terbabit kes buli mendiang Zara Qairina Mahathir menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Hakim Duncan Sikodol berkata, keputusan itu tidak boleh kekal kerana koroner berkenaan telah menarik diri daripada mendengar kes atas alasan wujud kepentingan peribadi.
“Segala perintah berkaitan inkues itu dibatalkan. Pihak terlibat bebas mengemukakan semula permohonan mereka kepada koroner baharu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau menegaskan, tidak wajar bagi seorang koroner yang sudah menarik diri membuat keputusan substantif, kerana ia boleh menjejaskan prinsip ketidakberpihakan.
Mahkamah turut menolak bantahan awal yang dibangkitkan timbalan pendakwa raya terhadap penglibatan Persatuan Guaman Sabah (SLS).
Menurut Duncan, SLS berhak hadir sebagai pemerhati kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.
Sebelum ini, koroner Azreena Aziz memutuskan peguam lima remaja itu boleh diterima sebagai pihak berkepentingan dan diberikan akses kepada dokumen kes, namun beliau kemudian menarik diri daripada prosiding.
Inkues kini akan dikendalikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, bermula esok hingga hujung September.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah agama di Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya sehari sebelumnya.
Kes berprofil tinggi ini menarik perhatian ramai selepas lima remaja mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap mangsa.