Dua Penuntut IPTS Maut Jatuh Kondominium Tiada Kaitan Satu Sama Lain

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan dua pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang maut selepas terjatuh di sebuah kondominium di Taman Melati pada 20 Ogos lalu tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa, seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lelaki berumur 21 tahun, tidak saling mengenali.

“Ketika ini siasatan masih dijalankan secara menyeluruh. Semua bukti akan diteliti termasuk kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 20 Ogos lalu, media melaporkan dua penuntut Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) maut selepas terjatuh dalam dua insiden berasingan di kondominium sama dalam tempoh kurang 24 jam.

Insiden pertama berlaku kira-kira jam 6.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan ditemui tidak bernyawa selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 22.

Beberapa jam kemudian, sekitar jam 8.30 malam, seorang penuntut lelaki pula maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 35 berhampiran kafetaria bangunan berkenaan.

Bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kecederaan parah selepas terjatuh dari tempat tinggi, manakala siasatan di lokasi tidak menemui sebarang tanda jenayah.

BBerkaitan

Latest articles