Keluarga Altantuya Fail Semakan Kehakiman, Desak Siasatan Afidavit Tambahan Azilah

KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat afidavit tambahan yang dikemukakan bekas pegawai polis, Azilah Hadri, berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Permohonan tersebut difailkan bapa mendiang, Dr. Shaariibuu Setev, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo, berkata anak guamnya memohon perintah supaya polis menjalankan siasatan ke atas kandungan afidavit tambahan bertarikh 24 September 2024, yang disertakan Azilah bersama akuan berkanun bertarikh 17 Oktober 2019.

Afidavit berkenaan digunakan bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati Azilah di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024, yang akhirnya membawa kepada penggantian hukuman mati kepada penjara 40 tahun dengan 12 sebatan.

“Dalam afidavit itu, Azilah mendakwa menerima arahan daripada pihak atasan untuk melaksanakan satu ‘operasi sulit’ bagi menghapuskan si mati. Kandungan afidavit tersebut tidak pernah dicabar pihak pendakwaan sepanjang prosiding,” kata Sangeet.

Shaariibuu dalam permohonannya turut mendakwa pihak polis gagal memaklumkan status siasatan yang dijalankan Bukit Aman pada 2019 terhadap afidavit tambahan itu.

Katanya, tindakan berdiam diri pihak berkuasa bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, malah dianggap cuai kerana tidak menunaikan tanggungjawab sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau memohon perintah mandamus supaya polis melengkapkan siasatan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah; status siasatan dimaklumkan kepada beliau dalam tempoh tujuh hari; dan sekiranga kertas siasatan diklasifikasikan sebagai No Further Action (Tiada Tindakan Lanjut), polis perlu menyatakan alasan jelas di sebalik keputusan itu.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk mendengar permohonan Shaariibuu mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, di hadapan Hakim Datuk Aliza Sulaiman.

BBerkaitan

Latest articles