KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu akan mendengar permohonan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 3 September ini bagi mengisytiharkan ibu pelajar itu, Noraidah Lamat, sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues.
Permohonan berkenaan difailkan pada 19 Ogos lalu oleh pasukan peguam diketuai Hamid Ismail.
Melalui permohonan itu, Noraidah meminta kebenaran untuk turut serta dalam prosiding dengan hak menyoal balas saksi, meneliti dokumen, mengemukakan cadangan serta membawa saksi dan dokumen tambahan yang boleh membantu mahkamah.
Pihaknya juga memohon salinan dokumen relevan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum inkues bermula bagi membolehkan persediaan lebih menyeluruh dibuat.
Terdahulu, Koroner Azreena Aziz menetapkan prosiding inkues kematian Zara Qairina berlangsung pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan perkataan menghina terhadap Zara Qairina, 13, dalam satu insiden di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
Mereka didakwa secara bersama-sama mencela mangsa antara jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu, di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6.
Perbuatan itu dipercayai boleh menimbulkan gangguan emosi terhadap pelajar tingkatan satu berkenaan.