KUALA LUMPUR: Blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati menghina mahkamah kerana melanggar perintah injunksi dalam kes saman fitnah difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, dalam keputusannya hari ini berkata, Papagomo melakukan dua pelanggaran injunksi masing-masing pada awal tahun ini dan Mei lalu.
Setiap pelanggaran membawa hukuman penjara 15 hari, dan kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan secara berturut-turut.
Bagaimanapun, hukuman penjara tersebut tidak akan dilaksanakan serta-merta selepas mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan.
Antara syarat penangguhan ialah Papagomo perlu memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya pada 29 Ogos ini, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Balai Polis Setapak setiap bulan sehingga proses rayuan selesai.
Mahkamah turut mengarahkan beliau membayar kos RM30,000 dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Kes penghinaan itu timbul selepas injunksi dikeluarkan pada 10 Januari lalu yang melarang Papagomo daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap Razarudin di media sosial.
Namun, mahkamah mendapati permohonan maaf yang dimuat naik Papagomo pada 30 April lalu tidak mematuhi perintah berkenaan kerana dibuat dalam bentuk video dengan teks berjalan pantas serta muzik latar filem klasik P. Ramlee Pendekar Bujang Lapok, seolah-olah berbentuk hiburan.
Sehari selepas itu, Papagomo memuat naik video baharu dengan penjelasan kepada pengikut media sosialnya, tetapi mahkamah berpandangan tindakan tersebut tidak dibuat dengan penyesalan tulus, sebaliknya bertujuan mengelak hukuman.
“Permohonan maaf sepatutnya dilakukan dengan jelas, ikhlas dan tanpa ulasan lanjut yang boleh menjejaskan integriti arahan mahkamah,” tegas Techiong.
Prosiding penghinaan mahkamah ini adalah sebahagian daripada saman fitnah bernilai RM3 juta yang difailkan Razarudin pada Disember tahun lalu terhadap Papagomo, berhubung kenyataan berbaur lucah yang didakwa dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perbicaraan penuh saman itu dijadualkan berlangsung selama empat hari pada Disember 2026.