SPRM Siasat Pembelian Hartanah Dikaitkan Pegawai Kanan DBKL

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti transaksi pembelian hartanah yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan Isnin lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pegawai gred Jusa B itu memegang jawatan penting di bawah Pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kini masih disiasat.

“Dia merupakan seorang pengarah kanan. Antara fokus siasatan SPRM ketika ini membabitkan pembelian hartanah, termasuk sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan tiga individu, termasuk pegawai kanan DBKL berusia 50-an, direman empat hari kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan rasuah sejak 2014.

Selain pegawai terbabit, dua lagi suspek ialah seorang pemilik syarikat dan seorang wanita berusia 40-an yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Mereka dipercayai terlibat dalam pemberian serta penerimaan sogokan bagi mendapatkan projek DBKL.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, dua kereta mewah jenis Lexus RX500h dan Mini Cooper, selain beberapa barangan berjenama termasuk beg tangan serta kasut mewah Hermès dan Louis Vuitton.

Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu dan syarikat bernilai lebih RM7 juta turut dibekukan bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles