Polis Bukit Aman Ambil Alih Siasatan Kematian Pelatih Palapes UTM

KUALA LUMPUR: Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri M Kumar, berkata keputusan itu dibuat susulan arahan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membenarkan permohonan keluarga Allahyarham untuk menggali semula kuburnya bagi menjalankan bedah siasat kedua.

“Polis memberikan komitmen sepenuhnya untuk mematuhi perintah mahkamah serta menjamin siasatan akan dilakukan secara telus dan berintegriti, berlandaskan undang-undang serta prinsip rule of law bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahkamah yang dipengerusikan Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet mengarahkan jenazah Syamsul yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor, digali semula untuk tujuan bedah siasat.

Menurut Kumar, mahkamah turut menetapkan supaya bedah siasat dilakukan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh 14 hari selepas jenazah dikeluarkan, dengan kehadiran pakar forensik Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga, Naran Singh atau wakilnya.

“Selain itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat juga diarah mengemukakan laporan post-mortem dalam tempoh munasabah, dengan salinan laporan diserahkan kepada peguam keluarga, Tetuan Naran Singh & Co,” katanya.

Pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, memfailkan permohonan di mahkamah bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan serta mencadangkan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Syamsul dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram, Johor, sebelum dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.

BBerkaitan

Latest articles