Wanita Nyaris Maut Ditikam Suami

GEORGETOWN: Seorang wanita berusia 28 tahun cedera di leher selepas ditikam suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, insiden berlaku kira-kira jam 6 pagi dan disedari ibu mangsa yang terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas.

“Wanita berkenaan ditemui ditindih suaminya yang juga seorang guru sambil cuba dikelar leher menggunakan pisau dapur. Ibu mangsa sempat menarik anaknya keluar dari bilik sebelum melihat suspek mengelar tangan serta lehernya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mangsa berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan akibat kecederaan di leher, manakala suspek dilaporkan kritikal dengan kecederaan pada bahagian leher dan pergelangan tangan.

Pasangan guru berusia 30 dan 28 tahun itu sudah enam tahun mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak. Mereka juga pernah melanjutkan pengajian Bahasa Mandarin di sebuah universiti di Beijing, China.

“Maklumat saksi mendapati pasangan ini hidup dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah kewangan, kemurungan atau konflik rumah tangga. Malah, komunikasi mereka malam tadi juga dilihat normal.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian,” jelasnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

BBerkaitan

Latest articles