AP, Reuters Tuntut Israel Bertanggungjawab Serangan Udara Ragut Nyawa 5 Wartawan di Gaza

ISTANBUL: Associated Press (AP) dan Reuters pada Selasa menuntut kebertanggungjawaban daripada tentera Israel berhubung serangan udara ke atas sebuah hospital di selatan Gaza yang meragut 20 nyawa, termasuk lima wartawan, tiga daripadanya berkhidmat dengan kedua-dua agensi itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam surat bersama kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan Israel, Editor Eksekutif AP Julie Pace dan Ketua Sidang Pengarang Reuters Alessandra Galloni menyatakan mereka “amat terkejut” kerana wartawan bebas antara yang terbunuh dalam serangan Isnin ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, sebuah kemudahan awam yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa.

“Wartawan visual bebas Mariam Abu Dagga dan Moaz Abu Taha masing-masing pernah bekerja untuk AP dan Reuters, selain media lain sepanjang perang ini. Jurukamera Hussam al-Masri, kontraktor Reuters, turut terbunuh, manakala jurufoto Hatem Khaled, seorang lagi kontraktor Reuters, cedera,” kata mereka.

Mereka berkata para wartawan berkenaan berada di lokasi atas kapasiti profesional, mendokumentasikan peperangan ketika Israel telah menghalang wartawan asing daripada memasuki Gaza selama hampir dua tahun.

Tentera Israel mengakui melancarkan serangan itu dan mendakwa tidak menyasarkan wartawan, selain memaklumkan siasatan dalaman telah dibuka.

Namun kedua-dua editor berkenaan meragui perkara itu, dengan menyatakan siasatan Israel sebelum ini “jarang membawa kepada penjelasan atau kebertanggungjawaban,” malah mempersoalkan sama ada Israel sengaja menyasarkan liputan langsung untuk menyekat maklumat.

“Menyerang hospital, diikuti serangan kedua ketika wartawan dan pasukan penyelamat sedang memberi respons, menimbulkan persoalan mendesak sama ada kewajipan antarabangsa untuk melindungi orang awam dan wartawan dipatuhi,” kata surat itu.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa mangsa termasuk pesakit, petugas kesihatan, anggota pertahanan awam serta petugas media.

Antara yang terbunuh ialah jurukamera Palestine TV Hussam al-Masri, jurufoto Al Jazeera Mohammad Salama, wartawan foto Mariam Abu Dagga, wartawan Moaz Abu Taha dan wartawan bebas Ahmed Abu Aziz.

Seorang lagi wartawan, Hassan Douhan daripada akhbar harian Al-Hayat Al-Jadida, turut terbunuh akibat tembakan Israel di Khan Younis pada Isnin, menjadikan jumlah wartawan yang terbunuh sejak Oktober 2023 meningkat kepada 246 orang.

Pace dan Galloni menggesa Israel menjamin akses selamat serta tanpa halangan kepada wartawan bebas ke dan dari Gaza, sambil menekankan keperluan segera untuk “penjelasan penuh dan telus” berhubung serangan ke atas Hospital Nasser.

Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 62,700 penduduk Palestin di Gaza. Kempen ketenteraan itu turut memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles