PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergred Jusa B, bersama seorang pemilik dan seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan kes rasuah projek sejak 2014.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan SPRM dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 40 hingga 50-an itu ditahan dalam operasi berasingan di DBKL, pejabat SPRM Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang antara jam 12 tengah hari semalam hingga 1 pagi tadi.
Siasatan awal mendapati, pemilik syarikat dipercayai memberi rasuah kepada pegawai DBKL terbabit sebagai balasan meloloskan projek di agensi tersebut.
SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, empat peranti telekomunikasi, dua kereta mewah jenis Lexus RX500H dan Mini Cooper, selain koleksi barangan berjenama seperti beg Hermes dan Louis Vuitton.
Selain itu, sebanyak 19 akaun bank milik individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai lebih RM7 juta juga dibekukan.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.