Mahkamah Benar Kubur Pelatih Palapes UTM Digali Semula Untuk Bedah Siasat Kedua

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua.

Perintah itu diputuskan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh selepas membenarkan permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, yang mahu kematian anaknya disiasat semula.

Menurut hakim, proses penggalian perlu dilaksanakan dengan kehadiran pakar patologi forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh serta peguam keluarga atau wakil mereka.

Bedah siasat semula juga diperintahkan dilakukan oleh pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan laporan bedah siasat itu disiapkan dalam tempoh munasabah dan menyerahkan satu salinan kepada peguam pemohon.

Allahyarham Syamsul Haris sebelum ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.

Dalam permohonannya, Ummu Haiman turut meminta agar laporan bedah siasat kedua disediakan dalam tempoh sebulan dan diserahkan kepada peguamnya.

Beliau juga mahu satu inkues diarahkan oleh Peguam Negara bagi menentukan punca sebenar kematian anaknya.

Ummu Haiman diwakili peguam Datuk Naran Singh, manakala responden pertama diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurul Huda Mohd Salehuddin dan responden kedua oleh Pengarah Pendakwa Raya Selangor, Datin Kalmizah Salleh.

BBerkaitan

Latest articles