Arab Saudi Kutuk Serangan Israel, Tuntut Dunia Segera Bertindak

JEDDAH: Arab Saudi menuntut komuniti antarabangsa mengambil langkah segera bagi menghentikan kekejaman Israel di Gaza yang disifatkan sebagai “jenayah berterusan” terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar Negeri, Putera Faisal bin Farhan, dalam sidang tergempar menteri-menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menegaskan serangan berulang Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan menggugat kestabilan rantau.

Beliau menegaskan, Riyadh menolak peluasan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki serta menegaskan sokongan penuh terhadap penyelesaian dua negara dan hak Palestin menubuhkan negara merdeka.

“Segala bentuk bantuan dan sokongan perlu disampaikan segera kepada penduduk Gaza,” kata Putera Faisal sambil menyifatkan tindakan Israel sebagai ancaman terbesar terhadap keamanan serantau.

Konflik yang memasuki bulan ke-11 itu menyaksikan lebih 62,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, selain kemusnahan infrastruktur penting termasuk sekolah, hospital dan pusat bantuan.

Situasi itu turut mencetuskan kebuluran meluas akibat kepungan ketat rejim Zionis.

Arab Saudi dalam masa sama mendukung usaha diplomatik ke arah gencatan senjata dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai tanpa sebarang halangan.

Riyadh juga menyokong langkah undang-undang antarabangsa terhadap pemimpin Israel yang dituduh melakukan jenayah perang, selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.

BBerkaitan

Latest articles