IPOH: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa partinya tidak pernah menyatakan minat untuk menjalin kerjasama politik dengan MCA.
Beliau menjelaskan, kerjasama DAP ketika ini hanya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN), bukannya secara langsung dengan mana-mana parti komponennya.
“Kami bekerjasama dengan BN. Jadi, terpulang kepada BN bagaimana mahu menguruskan hubungan dalaman, terutama menjelang pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh, semalam.
Kenyataan itu dibuat susulan pandangan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, yang sebelum ini berkata MCA sukar bekerjasama dengan DAP walaupun kedua-duanya berada dalam kerajaan sama.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sikap MCA sering menimbulkan kekeliruan apabila kerap mengeluarkan kenyataan bercanggah seolah-olah parti itu berada di luar kerajaan.
“Jika ada parti komponen yang tidak puas hati, mereka perlu selesaikan dalam BN sendiri. Setahu saya, pucuk pimpinan BN, khususnya UMNO, konsisten menunjukkan komitmen memperkukuh kerajaan perpaduan.
“Tetapi, saya lihat pemimpin MCA sering membuat kenyataan bercanggah. Mungkin mereka rasa bukan sebahagian kerajaan, saya tidak pasti. Itu hak mereka,” katanya.