KUALA LUMPUR: Penceramah bebas dan personaliti televisyen, Amin Idris menegaskan bahawa kerajaan Terengganu berhak menggubal undang-undang terhadap lelaki Islam yang culas menunaikan solat Jumaat, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, bidang kuasa hal ehwal Islam jelas diperuntukkan kepada kerajaan negeri melalui Jadual Kesembilan, justeru pihak luar tidak sepatutnya campur tangan.
“Kenapa bekas COO myBurgerLab, Andrew Chong hendak menyibuk dalam hal ini? Kalau dulu artis pergi ke Batu Caves untuk memohon maaf kerana disifatkan tidak sensitif kepada Hindu, apa salahnya Andrew Chong pula dibawa ke Masjid Negara memohon maaf kepada umat Islam Malaysia?” katanya menerusi Instagram.
Amin turut menegaskan isu solat Jumaat bukan perkara remeh kerana masih ramai lelaki Islam dilihat melepak di luar masjid ketika khutbah berlangsung.
“Tahniah kepada kerajaan Terengganu kerana serius dalam hal ini,” ujarnya.
Semalam, myBurgerLab mengumumkan penamatan perkhidmatan Andrew susulan kenyataan kontroversinya yang mengkritik langkah kerajaan Terengganu mengenakan denda terhadap mereka yang gagal menunaikan solat Jumaat tanpa alasan munasabah.
Dalam kenyataan rasmi, syarikat itu menegaskan mereka tidak berkongsi pandangan Andrew dan mengutuk sebarang bentuk diskriminasi terhadap agama.
“Kami memohon maaf kepada semua yang terkesan, dan akan memperkukuh dasar dalaman termasuk latihan sensitiviti budaya dengan kerjasama JAKIM,” kata pengurusan syarikat itu.
Andrew sebelum ini dikecam hebat di media sosial selepas mendakwa Malaysia bakal “menjadi seperti Iran selepas revolusi” susulan penguatkuasaan undang-undang tersebut.
Bagaimanapun, beliau kemudian tampil memohon maaf dan mengakui kenyataannya bersifat keterlaluan serta menyinggung perasaan masyarakat Islam.