HULU TERENGGANU: Seorang jururawat maut selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil, tengah hari tadi.
Mangsa, Roslinawati Ramli, 33, dari Simpang Renggam, Johor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa dalam perjalanan menyertai konvoi 13 motosikal menuju ke Himpunan RXZ Members 7.0 di Kuala Nerus.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan. Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.