SUBANG JAYA: Polis masih giat menyiasat kematian seorang pelajar kolej wanita yang ditemukan tergantung pada kipas siling di rumah keluarganya di USJ 2/1 pada 14 Ogos lalu, dengan fokus kini terarah kepada analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan telefon pintar milik mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata semakan awal tidak menjurus kepada sebarang unsur aktiviti seksual, sebaliknya tumpuan adalah untuk mengenal pasti motif serta pihak yang terbabit.
“Polis sedang memeriksa rakaman CCTV di kawasan sekitar serta kandungan telefon pintar mangsa. Daripada situ kita boleh dapat maklumat tambahan untuk melengkapkan siasatan.
“Semakan juga mendapati mangsa tidak mempunyai teman lelaki,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.
Setakat ini, polis sudah merakam keterangan daripada 30 individu termasuk ahli keluarga, rakan serta beberapa saksi.
“Dalam masa terdekat, kita akan memanggil lima lagi individu terdiri daripada rakan dan ahli keluarga mangsa. Siasatan ini tidak mengecualikan sesiapa kerana semua berpotensi menjadi suspek.
“Kenyataan yang diambil akan diteliti semula, dan jika perlu, akan dirakam semula untuk melengkapkan kertas siasatan,” jelasnya.
Mangsa berusia awal 20-an itu ditemui tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua oleh bapanya pada jam 11.55 pagi, 14 Ogos lalu.
Bagaimanapun, laporan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang mengesahkan punca kematian adalah pendarahan pada tulang hyoid serta kecederaan otot akibat cekikan (manual strangulation), sekali gus menolak kemungkinan ia berpunca daripada gantung diri.
Mangsa yang tinggal bersama kakak dan sepupu difahamkan bersendirian ketika kejadian, manakala tiada sebarang kehilangan harta benda dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.