KUALA LUMPUR: Nombor telefon digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada isteri bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, didaftarkan atas nama seorang warga asing.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata perkara itu hasil analisis pasukan siasatan dan usaha kini giat dilakukan bagi mengesan individu terbabit.
“Kita sudah mengenal pasti nombor telefon berkenaan dan ia berdaftar menggunakan identiti warga asing. Polis sedang mengesan pemilik sebenar untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Dalam masa sama, polis juga sedang mengesan dua penunggang motosikal yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap anak lelaki Rafizi di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
“Identiti mereka masih belum dapat dikenal pasti kerana kedua-duanya memakai topi keledar ketika kejadian,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata polis masih menunggu laporan kimia bagi menentukan jenis cecair yang disuntik kepada mangsa berusia 12 tahun itu.
“Buat masa ini, hospital memantau keadaan kanak-kanak terbabit dan dia dilaporkan berada dalam keadaan baik tanpa kecederaan fizikal,” katanya.
Setakat ini, seramai 19 individu termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan. Polis juga mengambil serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, anak lelaki Rafizi dilaporkan diserang sebelum diheret dan disuntik dengan jarum mengandungi cecair oleh individu tidak dikenali di kawasan menurun dan mengambil penumpang pusat beli-belah tersebut.