BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan di laman Facebook miliknya yang didakwa menimbulkan kegentaran serta mengancam ketenteraman awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berusia 37 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, sebelum memohon untuk dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Akmal didakwa memuat naik kenyataan di akaun Facebook “Akmal Saleh” sekitar jam 3 petang pada 11 Ogos lalu, yang didengar seorang lelaki di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
Dalam kenyataan itu, beliau menuntut Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan terhadap individu memasang Jalur Gemilang secara terbalik dalam tempoh dua hari.
Jika tiada tindakan diambil, beliau didakwa mengugut untuk “mengajar” individu tersebut, yang dirujuknya sebagai “apek”, cara memasang bendera dengan betul.
Kenyataan itu dipercayai boleh mencetuskan kegentaran awam serta mendorong orang ramai bertindak di luar batas undang-undang.
Bagi kesalahan itu, beliau dituduh di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Mohd Nordin Ismail, manakala Akmal diwakili barisan 11 peguam diketuai Aizat Azam.
Pihak pembelaan memohon jaminan ditetapkan pada RM2,000 dengan alasan kes ini bukan “kesalahan serius” kerana hukuman maksimum kurang daripada 10 tahun penjara, selain tanggungjawab tertuduh menyara keluarga serta menjalankan tugas rasmi sebagai wakil rakyat, EXCO Kerajaan Negeri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah jumlah itu dan memohon jaminan RM10,000, dengan alasan kenyataan tertuduh melibatkan kepentingan awam.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Akmal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula serta penyerahan dokumen.
Terdahulu, Akmal tiba di pekarangan mahkamah jam 8.20 pagi bersama isterinya, Datin Dr Fatin Nadhirah Idrus, dan disambut laungan “Hidup Pemuda” oleh penyokong UMNO dari seluruh negara.
Mengenakan kurta putih, beliau kelihatan tenang dan sempat melaungkan “lawan tetap lawan” ketika disapa media.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mendakwa Akmal bersama tiga individu lain berhubung kenyataan di media sosial yang didapati menggugat ketenteraman awam.
Akmal dalam catatan Facebooknya turut mengesahkan beliau pulang dari Mekah khusus untuk menghadiri prosiding hari ini.