KUALA LUMPUR: Dua penuntut universiti swasta ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kondominium di Taman Melati dalam dua kejadian berasingan dalam tempoh kurang 24 jam, semalam.
Dalam kejadian pertama sekitar 6.45 pagi, seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat 22 sebelum ditemukan meninggal dunia di laluan belakang kondominium berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
Kira-kira 8.30 malam hari sama, seorang lagi pelajar lelaki berusia 21 tahun, yang juga penuntut universiti swasta sama di Setapak, dipercayai terjatuh dari aras paling tinggi kondominium tersebut yang menempatkan sebuah kafeteria.
Sumber polis memaklumkan, siasatan awal mendapati kedua-dua insiden tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, meskipun berlaku di kediaman sama dan melibatkan pelajar dari universiti yang sama.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Lazim Ismail, ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kejadian dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.