Pelajar Cedera Dipukul Bapa Guna Kerusi Hanya Kerana Lambat Panaskan Lauk

MELAKA: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera selepas dipukul dengan kerusi plastik dan ditampar bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Panchor, Alor Gajah, Selasa lalu.

Kejadian sekitar jam 4.20 petang itu dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang lambat memanaskan lauk untuk dihantar kepada ibunya yang keluar bekerja.

Menurut sumber, suspek berusia 40 tahun yang juga penganggur dikatakan hilang sabar apabila anak keduanya daripada lima beradik itu mencampakkan pen ketika diminta berbuat demikian.

“Geram dengan tindakan anaknya, suspek menampar pipi dan mulut mangsa dengan kuat hingga menyebabkan bengkak serta luka di bibir.

“Mangsa yang cuba melarikan diri ke bahagian dapur kemudian dibaling kerusi plastik hingga terkena badannya sebelum suspek menghentak satu lagi kerusi pada belakang badan dan bahu kiri remaja itu,” katanya.

Mangsa yang kesakitan membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah pada hari sama sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek pada Rabu petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Gajah untuk mendapatkan perintah reman pada Jumaat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles