Klinik Pergigian Tutup 30 Hari Gara-Gara Jalur Gemilang Terbalik

PONTIAN: Sebuah klinik pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas tular video Jalur Gemilang dipasang terbalik di premis berkenaan semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin berkata, notis penutupan dikeluarkan sekitar jam 8.20 pagi tadi selepas pihaknya mendapati premis itu melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019.

“Setiap premis dilesenkan atau tidak dilesenkan di bawah UUK ini diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara yang betul, khususnya sepanjang tempoh sambutan Hari Kebangsaan.

“Tindakan penutupan diambil mengikut UUK 49(2), yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil,” katanya dipetik sebagai berkata.

Menurut Abdul Azim, pemilik premis terbabit boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan, namun keputusan akhir tertakluk kepada budi bicara pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal meluahkan rasa kecewa dengan kejadian berulang pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik, apatah lagi melibatkan sebuah klinik pergigian.

“Insiden ini mengecewakan pentadbiran daerah. Saya menyeru masyarakat supaya lebih berhati-hati agar perkara sebegini tidak lagi berulang.

“Jika tidak pasti, rujuklah panduan rasmi daripada pihak berkuasa tempatan atau pejabat daerah sebelum memasang bendera,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi 33 saat memaparkan Jalur Gemilang dipasang terbalik di klinik berkenaan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

BBerkaitan

Latest articles