Rasuah, Penyeludupan: Pegawai ATM Antara Yang Disiasat Dalam Skandal Rokok, Tembakau RM250 Juta

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang dipercayai menyebabkan kerugian hasil negara melebihi RM250 juta dalam tempoh 2020 hingga 2024.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 10 individu dan menyiasat 14 syarikat yang dipercayai terlibat dalam rangkaian jenayah tersebut.

Menurut sumber, sindiket berkenaan dikhuatiri mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan menerusi Op Sohor pada 14 Ogos lalu, sekali gus membayangkan wujudnya perlindungan lebih luas daripada pihak berkuasa.

“Taktik mereka termasuk membuat pengisytiharan palsu ketika proses import dengan menukar kod kastam atau butiran barangan. Rokok dan cerut yang dibawa masuk disimpan di gudang persendirian sebelum disalurkan ke pasaran,” katanya.

Hasil siasatan awal juga mendapati terdapat penguat kuasa yang dipercayai memberi laluan mudah di pintu masuk negara serta melindungi operasi penyimpanan barangan seludup itu.

Bayaran kepada mereka didakwa dibuat secara tetap dalam bentuk wang tunai atau melalui orang tengah bagi mengaburi jejak kewangan.

Pada Selasa lalu, Bahagian Operasi Khas SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menggempur beberapa premis di sekitar Lembah Klang dan Johor menerusi Op Sikaro bagi mengekang kegiatan penyeludupan tersebut.

Susulan operasi itu, SPRM turut membekukan beberapa akaun bank individu dan syarikat bernilai kira-kira RM218 juta, selain menyiasat aset lain yang dipercayai diperoleh melalui pengubahan wang haram oleh syarikat pengimport serta pegawai kastam yang disyaki.

Siasatan difokuskan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi menegaskan, pihaknya akan terus menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit.

“SPRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang merosakkan integriti sistem kawalan negara serta menyebabkan ketirisan hasil negara,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles