KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Zara Qairina menafikan mereka sedang mengutip derma, sama ada untuk kegunaan peribadi atau bagi membayar yuran guaman.
Barisan peguam yang mewakili keluarga pelajar berkenaan menjelaskan, nombor akaun milik anak guam mereka yang tular di media sosial seolah-olah untuk tujuan kutipan derma adalah tidak benar.
“Perkhidmatan guaman kami dijalankan secara pro bono atau percuma, jadi tiada sebarang bayaran diperlukan daripada anak guam kami,” kata enam peguam terbabit, iaitu Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser dalam satu kenyataan, hari ini.
Mereka menjelaskan, akaun yang kini tular itu pernah digunakan untuk menerima sumbangan orang ramai beberapa hari selepas kematian Zara, namun kutipan berkenaan sudah lama dihentikan.
“Sebarang sumbangan wang kepada anak guam kami hanya boleh dibuat secara fizikal melalui beliau sendiri atau menerusi wakil NGO yang diberikan kuasa,” jelas kenyataan itu lagi.