48 Termasuk Pegawai SPRM Dipanggil Dalam Siasatan Kehilangan Pamela Ling

KUALA LUMPUR: Seramai 48 individu termasuk empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan kehilangan Datin Seri Pamela Ling.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik dengan niat untuk mengurung secara salah.

“Kes masih dalam siasatan dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan polis menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang, dengan kerjasama agensi lain termasuk SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pamela dilaporkan hilang pada 9 April lalu ketika dalam perjalanan menaiki perkhidmatan e-hailing menuju ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Beliau dipercayai diculik oleh individu menyamar sebagai pegawai polis yang menahan kenderaan dinaikinya.

Saifuddin berkata, siasatan turut mengambil kira kemungkinan Pamela melarikan diri ke luar negara selepas sebuah kenderaan dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Sudah tentu siasatan di pintu sempadan memerlukan kerjasama rapat dengan pihak imigresen bagi melengkapkan maklumat,” katanya.

Kes berprofil tinggi itu terus mendapat perhatian selepas dibangkitkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang meminta penjelasan kerajaan mengenai perkembangan terkini pencarian Pamela.

BBerkaitan

Latest articles