KOTA KINABALU: Federal Power mengambil langkah proaktif memperkukuh hubungan dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) menerusi kunjungan hormat yang diadakan di ibu pejabat syarikat utiliti itu di sini.
Delegasi Federal Power diketuai Pengerusinya, Dato’ Seri N.W. Hisham Abdul Wahab, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Mohammad Amar Isqandar Noorha Wisma Hisham, serta Pengurus Bahagian Pemasaran dan Jualan merangkap Pegawai Khas Pengerusi, Mohd. Shamsul Shahrizan Ayop.
Hisham berkata, pertemuan itu bukan sahaja memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Federal Power, malah membuka ruang kerjasama strategik dengan SESB dalam pelbagai bidang termasuk pembekalan serta penyertaan tender baharu.
“Kami optimis kunjungan ini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama jangka panjang, selain memastikan Federal Power mampu menyokong sepenuhnya keperluan Sabah Electricity dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Delegasi berkenaan disambut Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, bersama Ketua Pegawai Perolehan (CPO), Azharul Alysious, yang turut menzahirkan keyakinan terhadap kebolehan Federal Power dalam memperkukuh keupayaan tenaga di Sabah.