Adam Radlan Dibebaskan Selepas Bayar Kompaun RM4.1 Juta

KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa selepas beliau membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima representasi yang dikemukakan Adam pada 3 Jun lalu dan bersetuju dengan cadangan kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta AMLATFPUAA 2001.

“Mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan memandangkan pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dan tidak lagi berniat untuk meneruskan kes,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan bahawa SPRM menerima bayaran kompaun tersebut, justeru pihaknya memohon agar Adam dilepas tanpa dibebaskan. Namun, peguam bela Datuk Seri Rajan Navaratnam berhujah bahawa anak guamnya wajar dibebaskan sepenuhnya kerana semua pertuduhan telah ditarik balik.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry turut menegaskan Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan pelepasan tanpa pembebasan, namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Mengikut pertuduhan Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah tertuduh membantu Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

BBerkaitan

Latest articles