Sepang : Seramai 126 warganegara asing dihalang daripada memasuki Malaysia dalam operasi bersepadu oleh Pasukan Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2, semalam.
Dalam operasi di KLIA1, seramai 35 lelaki warga Pakistan ditahan kerana gagal mematuhi syarat kemasukan. Siasatan mendapati mereka mengemukakan tempahan penginapan palsu, tidak membawa wang sara diri yang mencukupi serta tiada tiket pulang. Mereka disyaki bukan pelancong tulen dan dipercayai cuba memasuki Malaysia untuk bekerja.
Sementara itu, di KLIA2 seramai 91 pelawat asing dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) atas pelbagai kesalahan. Kumpulan terbesar terdiri daripada 64 warganegara India yang menggunakan helah transit. Siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan bukti tempahan hotel dan tiket penerbangan pulang, sebaliknya menunggu arahan serta tiket baharu daripada ejen untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah di negara ini.
Turut ditahan di terminal sama ialah dua warga Pakistan yang menggunakan ePass palsu serta 25 lagi individu dari pelbagai negara.
Kesemua 126 individu terbabit dikenakan NTL dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing menggunakan penerbangan terawal dalam tempoh 24 jam.
AKPS dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk memastikan integriti pintu masuk negara terus terpelihara dan mengalu-alukan kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras cubaan memasuki negara secara haram.