PUTRAJAYA, 19 Ogos — Jabatan Peguam Negara hari ini mengumumkan keputusan untuk membawa pertuduhan terhadap Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, YB Muhammad Hilman Idham, Chandrasegaran a/l Subramaniam dan Siti Hajar Aflah binti Sharuddin berhubung kenyataan yang didakwa mengganggu ketenteraman awam.
Dalam saru kenyataan rasmi, jabatan itu memaklumkan kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diteliti dan mendapati wujud asas untuk mendakwa kesemua individu berkenaan.
Pertuduhan terhadap Datuk Dr. Muhamad Akmal, Muhammad Hilman dan Siti Hajar Aflah akan dibuat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574], manakala Chandrasegaran akan dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.
AGC menjelaskan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh individu-individu berkenaan menerusi platform media sosial termasuk Facebook dan TikTok telah menjejaskan ketenteraman awam serta dianggap sebagai penggunaan tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian.