KUANTAN: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu selepas keluar menunaikan solat Subuh di sebuah surau berhampiran rumahnya di sini.
Kehilangan Muhammad Aliff Syazwan Mohd Nizam, yang juga menghidap gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD), mula disedari pada 10 Ogos lalu selepas dia meminta izin ibunya untuk ke surau seperti kebiasaan.
Bapanya, Mohd Nizam Hamad, 46, berkata sebelum ini anak sulungnya itu pernah keluar rumah selama beberapa hari, namun keadaan kali ini membimbangkan kerana Aliff tidak membawa telefon bimbit.
“Biasanya kalau dia keluar, selepas tiga hari sudah balik. Kalau duit habis, dia akan hubungi saya untuk belikan tiket bas secara dalam talian. Tapi kali ini dia langsung tak bawa telefon, itu yang buat kami buntu,” katanya ketika ditemui.
Menurut Nizam, laporan polis telah dibuat pada hari keempat kehilangannya dan usaha mengesan Aliff masih diteruskan.
Beliau berkata, seorang jiran mendakwa terlihat anaknya di Genting Highlands, namun cubaan keluarga menjejakinya di lokasi itu tidak berhasil.
“Jiran itu nampak dia dan bertanya sama ada kami tahu atau tidak dia berada di sana. Aliff jawab ‘ya’. Tapi bila kami ke sana, langsung tak dapat jumpa,” katanya yang sudah 10 hari mengambil cuti tanpa gaji untuk mencari anaknya.
Katanya, Aliff sebelum ini mampu berdikari dengan menumpang tidur dan mandi di surau selain makan seadanya, namun kehilangan kali ini dianggap luar biasa kerana terlalu lama.
Sehubungan itu, Nizam dan isterinya merayu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Aliff untuk menghubungi mereka di talian 012-6954807.