CYBERJAYA — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penguasaan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI), perlu digerakkan seiring dengan prinsip tadbir urus baik dan nilai kemanusiaan bagi memastikan transformasi digital negara tidak mengulangi kesilapan dasar lalu.
Anwar, yang merasmikan Fakulti AI dan Kejuruteraan Universiti Multimedia (MMU), berkata langkah universiti itu mewujudkan fakulti berkenaan lebih awal daripada cadangan kerajaan merupakan contoh proaktif sektor pendidikan dalam menyahut cabaran ekonomi digital.
“Transformasi digital adalah tonggak utama agenda Madani, sehingga kita tubuhkan Kementerian Digital. Namun, teknologi mesti dipandu oleh tata kelola. Tanpa itu, kita berisiko mengulangi kegagalan dasar penswastaan lalu yang akhirnya membebankan negara,” katanya.
Majlis perasmian ini turut dihadiri barisan kepimpinan utama negara, termasuk Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zamri Abdul Qadir, Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi bin Muhammad Fazil, Menteri Digital Tuan Gobind Singh, serta Pengerusi Telekom Malaysia Berhad Datuk Zainal Abidin Putih. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan strategik kerajaan dan industri dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
Sementara itu, Anwar yang turut merujuk kepada laporan United Nations University dan McKinsey mengenai fenomena Gen AI Productivity Paradox, iaitu pelaburan besar dalam digitalisasi dan AI tidak semestinya menghasilkan lonjakan produktiviti sekiranya pengurusan dan kerangka dasar tidak mantap.
“Privatisation tanpa governans jadi piratisation. Begitu juga digitalisation tanpa perancangan hanya jadi paperball, bukan paperless,” tegasnya, menyatakan keutamaan prinsip governans dalam Rancangan Malaysia Ke-13
Beliau turut menggariskan tiga kerangka utama transformasi digital iaitu memperkukuh teknologi, pelaburan dan daya saing, memastikan pertumbuhan inklusif merentas semua lapisan masyarakat serta menolak rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.
“Kalau kita naikkan ceiling dan floor, tetapi pada masa sama biar rasuah dan salah guna kuasa berleluasa, negara tidak akan ke mana,” katanya.
Teknologi Berakar Budaya
Anwar turut menegaskan bahawa kemajuan AI mesti berpaksikan nilai dan budaya tempatan.
“Robot boleh bersilat, boleh capai langit, tetapi jangan sampai kita hilang akar budaya. Teknologi mesti bergerak seiring dengan nilai insaniah,” ujarnya, sambil memberi contoh salah guna aplikasi AI yang menghasilkan teks palsu berunsur agama.
Smeentara itu, dalam dialog bersama mahasiswa MMU, Anwar menekankan bahawa pendidikan harus menjadi wadah mengangkat martabat manusia, bukan menanam kebencian.
“Masih ada yang menanam kebencian kaum dan agama walaupun negara sudah merdeka lebih enam dekad. Itu bukan makna pendidikan,” katanya, sambil mengingatkan pelajar agar menolak budaya rasuah, buli dan politik sempit.
Beliau menambah bahawa kerajaan tetap menjamin kebebasan bersuara di kampus, namun ia perlu digunakan secara beradab.
“Kritikan yang ikhlas saya terima, tetapi kebebasan bukan lesen untuk menghina kaum dan agama,” katanya.
⸻