AGC Sah Akan Dakwa Suspek Kes Buli Zara Qairina

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan akan mendakwa beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes buli membabitkan pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia bulan lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti kertas siasatan yang diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pendakwaan dibuat berdasarkan keterangan yang ada. Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli tidak akan menjejaskan perjalanan prosiding inkues yang bakal berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan, proses pendakwaan di mahkamah tidak akan mengganggu siasatan menyeluruh PDRM berhubung punca kematian Zara Qairina.

Sementara itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan tarikh prosiding inkues bermula 3 September untuk menyiasat punca sebenar kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Koroner Azreena Aziz menetapkan tarikh pendengaran pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd. Fairus Johari dari AGC Putrajaya selaku pegawai pengendali, bersama tiga lagi TPR dari AGC Sabah, iaitu Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Setakat ini, pihak mahkamah mengenal pasti seramai 195 saksi untuk memberikan keterangan sepanjang inkues berlangsung.

Kes kematian Zara Qairina mencetuskan perhatian seluruh negara selepas laporan awal polis dan keterangan saksi mendedahkan unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual yang dipercayai dialami mangsa sebelum ditemukan tidak bernyawa.

BBerkaitan

Latest articles