Empat Lagi Individu Sudah Pulang Ke Tanah Air

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa empat individu yang sebelum ini ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa Thailand atas kesalahan berkaitan dadah telah pulang ke tanah air semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Bernama berkata, Mohd Affendi Ahmad, 35 tahun; Eridieka Mohd Noor, 33 tahun; Mohamad Alif Deraman, 33 tahun dan Zuhaira Nasrin, 26 tahun pulang ke Malaysia petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mereka dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga pada 6.30 petang tadi selepas diambil keterangan selama kira-kira enam jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas keempat-empat individu berkenaan juga disahkan negatif dadah,” katanya ketika dihubungi.

Dua hari lalu, penyanyi dikir barat Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan bersama seorang lagi individu, Nur Aida Mamat, 33, pulang ke tanah air.

Media melaporkan Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan Eda, suaminya Mohd Affendi dan empat individu lain pada kira-kira 11 pagi waktu Thailand (12 tengah hari waktu tempatan) selepas pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti bagi membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini.

Keenam-enam mereka sebelum ini ditahan atas dakwaan memiliki 6,059 pil Yaba pada 1 November lepas. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles