PAPAR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar kubur pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazahnya.
Dalam kenyataan hari ini, AGC menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas penelitian terhadap laporan siasatan awal yang mendapati terdapat keperluan untuk siasatan lanjut bagi memastikan segala aspek berkaitan kematian remaja itu disiasat secara menyeluruh.
“Langkah ini bertujuan membantu pihak polis mendapatkan maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, ibu kepada mangsa, Noraidah Lamat, tampil membuat permohonan agar kubur anaknya dibuka semula selepas mendakwa jenazah dikebumikan tanpa sebarang bedah siasat dijalankan.
Noraidah melantik peguam untuk menguruskan proses permohonan tersebut, kerana menurutnya, tiada pihak yang menyarankan atau mencadangkan agar bedah siasat dilakukan pada ketika itu.
“Saya hanya mahu keadilan dan kebenaran buat anak saya,” katanya dalam satu kenyataan terdahulu.
Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu, dan meninggal dunia keesokan harinya.
Kematian tragik itu mencetuskan tanda tanya apabila dikaitkan dengan kemungkinan insiden buli, yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
AGC menegaskan bahawa langkah menggali semula kubur ini adalah prosedur penting demi keadilan, dan menyatakan bahawa laporan awal siasatan telah pun dikembalikan kepada pihak polis dengan beberapa arahan khusus, termasuk keperluan menjalankan bedah siasat terhadap jenazah.