Tengku Zafrul Jawab Tun M, “Ini Bukan Soal Gembira…”

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menepis dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang menyifatkan Malaysia seolah-olah ‘gembira’ dengan persetujuan tarif balas antara negara ini dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, persefahaman yang dicapai bukan soal kegembiraan, tetapi hasil rundingan kritikal demi menyelamatkan ekonomi negara daripada risiko tarif 25 peratus yang dirancang oleh AS, khususnya terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Ini bukan pasal ‘happy’, Tun. Ini soal tanggungjawab. Kami berunding bagi mengelakkan ancaman kepada lebih RM198 bilion nilai eksport dan 10,000 peluang pekerjaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa hasil rundingan tersebut menyaksikan Malaysia dikenakan kadar tarif seragam 19%, selaras dengan negara-negara ASEAN lain, sekaligus mengurangkan tekanan terhadap daya saing eksport negara.

“Kami utamakan kestabilan ekonomi dan perlindungan kepada sektor strategik. Rundingan ini penting untuk melindungi rakyat, bukan untuk mengorbankan apa-apa,” tegasnya.

Menjawab tuduhan bahawa Malaysia bersetuju menghapuskan cukai ke atas 11,000 produk AS sepenuhnya, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa hanya 60.4% baris tarif dikenakan duti sifar, bukannya keseluruhan.

“60% tu lebih sedikit dari separuh. Bukan 100% seperti didakwa. Tuduhan Tun adalah tidak benar dan mengelirukan,” katanya sambil menegaskan keputusan tersebut dibuat bagi mengurangkan impak terhadap pasaran kewangan dan ekonomi negara secara keseluruhan.

Tengku Zafrul turut menolak dakwaan bahawa Malaysia bersetuju membekalkan nadir bumi secara eksklusif kepada AS sebagai sebahagian daripada perjanjian pengurangan tarif.

Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian bertulis mahupun lisan dibuat berkaitan eksport nadir bumi ke AS atau mana-mana negara, apatah lagi secara eksklusif.

“Dasar kita jelas. Mulai 1 Januari 2024, Malaysia melarang eksport nadir bumi mentah. Semua nadir bumi wajib diproses dalam negara sebelum dibenarkan untuk dieksport,” ujarnya.

Beliau turut mencabar Dr. Mahathir untuk mengemukakan bukti terhadap dakwaan tersebut.

“Kalau mahu mengkritik, pastikan kritikan berasaskan fakta, bukan tuduhan palsu,” tegas beliau.

Kontroversi ini tercetus susulan kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa kerajaan terlalu ‘gembira’ dengan hasil rundingan tarif balas bersama AS, sedangkan menurut beliau, keuntungan memihak kepada Washington dan merugikan kepentingan nasional Malaysia.

Namun, kerajaan menjelaskan rundingan tersebut adalah langkah mengelak tarif berat sebelah yang boleh menjejaskan industri utama negara serta mewujudkan ketidakstabilan ekonomi dalam jangka pendek dan panjang.

BBerkaitan

Latest articles