KPM Jamin SBP Kekal Selamat, Tangani Isu Buli Secara Menyeluruh – Fadhlina

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara kekal selamat untuk para pelajar, meskipun timbul kebimbangan dalam kalangan ibu bapa susulan beberapa insiden melibatkan kes buli di institusi pendidikan berasrama.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kementerian sentiasa mempertingkatkan aspek keselamatan di 72 buah SBP melalui pemantauan berterusan, penambahbaikan persekitaran dan pelaksanaan intervensi terhadap isu-isu disiplin.

“Saya ingin beri jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah berasrama penuh di seluruh negara masih selamat.

“KPM sentiasa menambah baik keselamatan dan kualiti ekosistem pendidikan agar sekolah terus menjadi institusi berimpak tinggi untuk anak-anak kita,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik, semalam.

Mengulas mengenai kebimbangan terhadap kes buli yang didakwa semakin berleluasa di sekolah berasrama, Fadhlina menegaskan bahawa isu itu tidak seharusnya dibebankan kepada sekolah sahaja, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian lain dan masyarakat.

“Buli bukan isu yang boleh ditangani secara silo. Kita ada garis panduan, tetapi usaha ini memerlukan komitmen kolektif merentas kementerian, agensi dan komuniti,” ujarnya.

Sebagai langkah menangani salah laku pelajar termasuk buli, KPM telah memperkenalkan program “Bangkit Bermaruah” yang memberi peluang kepada pelajar yang digantung sekolah untuk menjalani khidmat masyarakat.

Program ini dikendalikan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan bertujuan memberi kesedaran serta membina semula jati diri pelajar yang terlibat dalam kes disiplin berat.

“Pendekatan kita bukan hanya menghukum tetapi mendidik. Kita juga perkasakan peranan kaunselor melalui latihan tambahan bagi menangani isu disiplin dengan pendekatan lebih berkesan,” jelas Fadhlina.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyuarakan kebimbangan di Dewan Rakyat apabila mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini fobia menghantar anak ke SBP, berikutan kes kematian seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, di Papar yang dikaitkan dengan kes buli.

Bung Moktar juga mempersoalkan keberkesanan kawalan disiplin di sekolah asrama, tidak kira sama ada sekolah kebangsaan, agama mahupun vokasional dengan menyifatkan insiden buli semakin membimbangkan.

KPM menegaskan bahawa isu keselamatan pelajar dan pembentukan persekitaran pembelajaran yang sihat adalah keutamaan utama kementerian, termasuk di sekolah berasrama.

“Kita akan terus pertingkat sistem pemantauan, peranan guru, pentadbir dan kaunselor. Apa sahaja yang berlaku kepada anak-anak di sekolah adalah tanggungjawab kita bersama,” kata Fadhlina.

BBerkaitan

Latest articles