PUTRAJAYA: Rasuah di pintu sempadan negara terus menjadi antara risiko keselamatan utama yang menggugat integriti perkhidmatan awam dan keselamatan negara.
Bagi menangani ancaman itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengorak langkah dengan menjalin kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Kerjasama itu merangkumi latihan, operasi dan pemantauan bersepadu bagi memperkukuh kawalan serta membanteras rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa di sempadan, yang sering menjadi sasaran sindiket penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata AKPS yang baru ditubuhkan memerlukan sokongan dari segi peningkatan integriti dan budaya kerja beretika di kalangan pegawainya, memandangkan mereka kini menjadi barisan hadapan utama negara.
“SPRM memberi komitmen penuh untuk bekerjasama dengan AKPS dalam meningkatkan tahap integriti dan membanteras rasuah di sempadan. Kita sedar, beberapa isu melibatkan AKPS sudah pun berada dalam radar SPRM,” kata Azam dalam kenyataan hari ini.
“Namun penyelesaiannya mencabar dan memerlukan pendekatan kolaboratif. Kita yakin kerjasama ini akan mempercepatkan proses siasatan dan reformasi dalaman.”
Azam turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada pegawai AKPS yang bertugas di sempadan sebagai dorongan moral dan langkah pencegahan awal terhadap elemen rasuah.
“Insentif boleh menjadi pemangkin semangat untuk mereka menjalankan tugas dengan lebih berintegriti, sambil mengekang sikap sambil lewa atau peluang penyalahgunaan kuasa,” tambah beliau.
Kerjasama ini dimeterai hasil daripada kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, yang turut disertai pegawai kanan daripada kedua-dua agensi.
Shuhaily berkata pertemuan itu membuka ruang penting untuk membincangkan langkah operasi bersama, perkongsian maklumat risikan, serta strategi peningkatan integriti pegawai di kawasan sempadan.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkukuh sistem kawalan sempadan negara, tetapi juga membentuk satu barisan hadapan yang berdisiplin dan berwibawa,” ujar beliau.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS, Datuk Sazali Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Ismail Mokhtar.
Malaysia berkongsi sempadan darat sepanjang ribuan kilometer dengan beberapa negara jiran.
Kawasan sempadan sering menjadi laluan panas bagi sindiket penyeludupan manusia, dadah dan barangan larangan menjadikan pegawai sempadan antara barisan paling terdedah kepada godaan rasuah.
Kerjasama antara SPRM dan AKPS ini dilihat sebagai langkah proaktif membina benteng integriti, sebelum isu lebih besar tercetus.
“SPRM akan terus beri perhatian serius terhadap sebarang bentuk rasuah di pintu masuk negara. Ini bukan soal salah laku individu semata-mata, tetapi soal mempertahankan kedaulatan negara,” tegas Azam.