KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan satu blok daripada Projek Residensi Aman Madani di Bandar Tasik Permaisuri ditangguhkan pembinaannya, selepas mendapati keperluan asas penduduk tidak diambil kira sepenuhnya dalam perancangan pembangunan.
Ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan hari ini, Anwar memberi amaran tegas kepada pemaju agar menyediakan semula kertas kerja projek dan memastikan pelaksanaan memenuhi prinsip pembangunan MADANI, termasuk penyediaan prasarana pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
“Satu blok boleh diteruskan, satu lagi saya arah tangguh sehingga syarat-syarat ini dipenuhi. Saya tidak kisah jika ada yang tidak senang dengan teguran saya,” tegas beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Anwar menegaskan bahawa projek perumahan berskala besar tidak sepatutnya hanya menumpukan kepada pembinaan unit kediaman, sebaliknya perlu merangkumi kemudahan seperti sekolah vertikal, tadika, pusat kesihatan dan ruang komuniti bagi menjamin kesejahteraan jangka panjang penduduk.
“Kalau sekolah jauh, tadika tidak ada, bagaimana ibu bapa hendak urus anak-anak? Ini bukan soal kecil. Semua ini mesti diberikan perhatian serius,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kurang puas hati terhadap pelaksanaan projek perumahan yang didapati tidak sensitif terhadap keperluan golongan B40 dan miskin bandar, khususnya yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa perubahan sebenar dalam pembangunan negara memerlukan perubahan sikap di semua peringkat, termasuk kalangan pemaju hartanah dan perancang bandar.
“Negara ini hanya boleh berubah jika kita semua ubah sikap dan melaksanakan tanggungjawab. Ini projek besar dan pemaju perlu memberikan kerjasama,” katanya lagi.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa keperluan membina kemudahan pendidikan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melambatkan penyempurnaan projek-projek perumahan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu prihatin terhadap keperluan rakyat, walaupun mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membuat tuntutan. Inilah makna sebenar pembangunan berteraskan MADANI,” katanya.