Insiden Buli Tular: Empat Pelajar Digantung Sekolah, 14 Lagi Terima Amaran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap 18 murid yang terlibat dalam insiden buli di sebuah sekolah di ibu negara yang videonya tular sejak semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata empat murid dikenakan hukuman gantung sekolah, manakala 14 murid lain diberi surat amaran, susulan insiden tersebut yang mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya ibu bapa.

“Saya sendiri turun ke sekolah berkenaan pagi ini untuk mendapatkan gambaran jelas dan maklumat menyeluruh.

“Tindakan yang diambil selari dengan prosedur disiplin KPM, bagi memastikan keselamatan pelajar menjadi keutamaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi hari ini.

Fadhlina turut menjelaskan bahawa murid yang digantung sekolah akan mengikuti program khidmat masyarakat di bawah kendalian Pejabat Pendidikan Daerah, selain menjalani sesi kaunseling sebagai intervensi pemulihan tingkah laku.

“Kaunseling ini penting untuk menerapkan nilai-nilai murni dan membentuk semula sahsiah pelajar,” ujarnya.

Video tular insiden berkenaan memaparkan seorang murid dipukul oleh beberapa pelajar lain, disaksikan pula oleh rakan-rakan mereka yang hanya melihat tanpa campur tangan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di dalam kawasan sekolah, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar.

Menegaskan pendirian tegas, Fadhlina berkata KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli atau perlakuan yang mengancam keselamatan warga sekolah.

“Langkah-langkah pencegahan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan ekosistem sekolah kekal selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles