ATM Main Peranan Penting Dalam Gencatan Senjata Thailand–Kemboja

KUALA LUMPUR: Walaupun perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja mula dikuatkuasakan semalam, beberapa insiden pertempuran kecil masih dilaporkan, mendorong Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar delegasi diplomatik tinggi ke kedua-dua negara bagi meredakan ketegangan yang masih berlarutan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi ATM dalam misi khas itu, yang disifatkan sebagai langkah susulan penting demi memastikan komitmen terhadap gencatan senjata benar-benar dipatuhi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM, satu mesyuarat Komander Serantau antara wakil tentera Thailand dan Kemboja berlangsung pada pukul 10 pagi tadi, dan berjaya menghasilkan persetujuan bersama memperkukuh pelaksanaan gencatan senjata.

Antara persetujuan penting yang dicapai adalah memastikan pematuhan penuh terhadap syarat-syarat perjanjian gencatan senjata, melarang sebarang serangan terhadap orang awam, menghentikan penambahan atau pergerakan pasukan tentera di kawasan sempadan, memudahkan pemulangan anggota yang tercedera atau terkorban, menubuhkan pasukan penyelarasan seramai empat wakil dari setiap negara dan menunggu hasil rundingan lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadualkan pada 4 Ogos 2025.

ATM juga memaklumkan bahawa delegasi Malaysia akan meneruskan lawatan ke Phnom Penh, Kemboja, dalam beberapa hari akan datang untuk mengadakan perbincangan lanjutan dengan pihak berkuasa Kemboja bagi mengukuhkan kestabilan di kawasan yang terjejas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, mengumumkan kejayaan rundingan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara kedua-dua negara.

Mesyuarat khas itu diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, dan menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju menghentikan semua bentuk pertempuran di kawasan sempadan yang masih dipertikaikan.

Kawasan tersebut, termasuk wilayah di sekitar Segi Tiga Zamrud, telah menyaksikan pertempuran yang berulang-ulang sejak minggu lalu, melibatkan serangan roket dan pertukaran tembakan antara tentera kedua-dua negara.

BBerkaitan

Latest articles