Duta Baharu Malaysia Serah Watikah Kepada Trump, Komited Perkukuh Hubungan Dua Hala

WASHINGTON: Duta Besar Malaysia yang baharu ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob secara rasmi menyerahkan watikah pelantikan beliau kepada Presiden AS, Donald Trump dalam satu majlis penuh protokol di White House, kelmarin.

Majlis penyerahan surat tauliah itu menandakan pelantikan rasmi beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang ke-18, menggantikan Datuk Seri Nazri Aziz yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 8 Februari lalu.

Dalam pertemuan empat mata bersama Presiden Trump, Muhammad Shahrul Ikram menyampaikan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak tahun 1957.

“Saya menyatakan kesungguhan Malaysia untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, keselamatan, pendidikan dan hubungan antara rakyat,” katanya seperti dipetik menerusi kenyataan rasmi Kedutaan Malaysia di Washington D.C.

Dalam kesempatan itu, beliau turut merakamkan penghargaan Malaysia kepada Trump atas penyertaan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 yang diadakan di Kuala Lumpur awal bulan ini.

“Penyertaan itu bukan sahaja mencerminkan sokongan AS terhadap ASEAN, tetapi turut mengukuhkan Perkongsian Komprehensif Malaysia-Amerika Syarikat,” tambah beliau.

Hubungan Malaysia-AS telah berkembang menjadi satu perkongsian strategik pelbagai dimensi merangkumi kerjasama politik, perdagangan, keselamatan dan pembangunan insan.

Pelantikan Muhammad Shahrul Ikram, seorang diplomat berpengalaman luas, dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh lagi hubungan bilateral yang sedia terjalin, khususnya dalam era ketidaktentuan geopolitik global.

BBerkaitan

Latest articles