KUALA LUMPUR: Cucu perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM1.8 juta selepas kediamannya di Bukit Ledang, dipecah masuk oleh individu tidak dikenali.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan berkata, kejadian itu disedari oleh pembantu rumah warga Filipina yang memaklumkan bahawa kunci mangga pintu pagar belakang telah dipotong, manakala bilik tidur majikannya yang berusia 29 tahun telah diceroboh.
“Siasatan awal mendapati sejumlah barang kemas mewah milik mangsa yang disimpan di dalam bilik tidur telah hilang, dengan anggaran kerugian mencecah RM1.8 juta,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, sepasukan pegawai forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan berjaya menemui tiga cap jari di dalam bilik tidur yang dipercayai milik suspek.
“Polis turut merampas satu kunci mangga jenama Solex yang telah dipotong dari pintu pagar belakang kediaman sebagai bahan bukti untuk siasatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, unit anjing pengesan yang dibawa ke lokasi gagal mengesan sebarang jejak suspek.
Menurut Mohamed Usuf, mangsa menetap di rumah milik bapanya yang berkeluasan 1.5 ekar dan dikawal oleh sistem keselamatan 24 jam.
Kawasan kediaman itu juga dilengkapi 16 unit kamera litar tertutup (CCTV), namun malangnya semua kamera hanya berfungsi secara langsung tanpa sistem rakaman.
“Pihak kami kini sedang menyemak rakaman CCTV dari rumah jiran untuk membantu mengesan suspek terlibat. Siasatan lanjut masih dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.