6 Pelajar MRSM Melaka Digantung, Dicadang Dibuang Akibat Kes Buli

MELAKA: Enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka digantung serta dicadangkan untuk dibuang sekolah selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli yang mendapat perhatian luas di media sosial sejak awal pagi tadi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau menegaskan, tindakan tegas ini mencerminkan pendirian MARA yang tidak akan berkompromi dalam isu buli melibatkan institusi pendidikannya.

“Pagi-pagi lagi ramai yang tag saya mengenai insiden buli di salah sebuah MRSM di Melaka. Terus saya minta laporan daripada pihak pengurusan MARA. Enam pelajar Tingkatan Lima terlibat, telah digantung dan dicadang untuk dibuang. Tak perlu merayu. #YouTouchYouGo,” tulisnya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama MRSM yang terlibat atau butiran lanjut kejadian tersebut.

Dalam ruangan komen hantaran sama, Asyraf menegaskan bahawa sebarang rayuan daripada pelajar atau ibu bapa tidak akan dilayan.

“Bahkan tidak perlu juga bersusah payah nak berjumpa saya untuk merayu. Sudah banyak kali diperingatkan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli,” katanya.

Menurut beliau, MARA bertanggungjawab untuk melahirkan generasi pemimpin yang berakhlak dan beradab, bukan individu yang merosakkan nilai agama serta ketamadunan.

“Saya berazam menjadikan MRSM dan semua institusi pendidikan di bawah MARA sebagai zon bebas buli, insya-Allah,” tambah beliau.

Insiden ini berlaku beberapa bulan selepas satu kes buli di MRSM Nibong Tebal, Pulau Pinang, di mana Jawatankuasa Disiplin MRSM mencadangkan tujuh pelajar ditamatkan pengajian.

BBerkaitan

Latest articles