Kementerian Tunggu Laporan Lengkap JAIS Berhubung Program eHATI

GEORGETOWN: Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung siasatan terhadap program motivasi rumah tangga kontroversi, “Empowering Harmony in Total Intimacy” (eHATI).

Menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata siasatan terhadap program anjuran eHATI International Sdn Bhd itu sedang dijalankan secara bersama oleh JAIS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan masih berjalan. Beberapa saksi telah dipanggil dan penganjur juga sedang dalam proses untuk diambil keterangan.

“Kami akan tunggu laporan lengkap JAIS sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Sinar Lestari YAPEIM hari ini.

Menurut Mohd Na’im, siasatan ke atas program eHATI melibatkan dua aspek perundangan iaitu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) dan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

“Siasatan dari sudut jenayah sivil dikendalikan oleh PDRM, manakala JAIS pula mengendalikan aspek syariah. Kita serah kepada pihak berkuasa dan tunggu hasil siasatan menyeluruh,” jelasnya.

Terdahulu, JAIS menafikan memberi sebarang kebenaran rasmi kepada syarikat penganjur untuk meneruskan program eHATI di negeri Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, menjelaskan bahawa pada 15 November 2022, pihaknya pernah memanggil penganjur untuk memberi penjelasan berikutan aduan daripada peserta mengenai kandungan program tersebut yang dianggap sensitif dan tidak bersesuaian.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa pihak polis telah merakam keterangan daripada 90 individu setakat ini.

Mereka termasuk fasilitator program, peserta dan kakitangan eHATI International Sdn Bhd.

Pihak polis sedang meneliti semua keterangan sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

BBerkaitan

Latest articles