PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa tiada kenaikan kadar tol akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, meskipun terdapat perjanjian sedia ada antara kerajaan terdahulu dan syarikat konsesi lebuh raya yang menetapkan kadar tol baharu.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat demi mengurangkan beban rakyat, walaupun kerajaan perlu menanggung kos pampasan lebih RM500 juta kepada pengendali lebuh raya yang terlibat.
“Kalau ikut unjuran, kadar tol memang dijadualkan naik tahun ini mengikut perjanjian lama antara syarikat konsesi dengan kerajaan terdahulu.
“Namun, kita (kerajaan kini) setuju untuk tidak melaksanakan kenaikan tersebut demi kesejahteraan rakyat,” kata Anwar dalam pengumuman khas “Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia” hari ini.
Difahamkan, seramai 10 pengendali lebuh raya terbabit dalam perjanjian kenaikan tol tahun ini. Antara lebuh raya yang dijangka terlibat ialah:
• Lebuhraya Senai-Desaru (SDE)
• Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)
• Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
• Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB)
• Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX)
Langkah ini dijangka memberi kelegaan kepada jutaan pengguna lebuh raya di seluruh negara, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi memperluas dan mempergiat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah RM600 juta.
Beliau berkata, tambahan itu dibuat susulan sambutan luar biasa daripada rakyat terhadap program jualan murah tersebut, yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Kita akan tingkatkan kekerapan Jualan Rahmah dan luaskan lokasi ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sebelum akhir tahun ini,” katanya.