MELAKA: Selepas lebih dua hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Melaka, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang lemas di kolam renang sebuah rumah inap di Taman Kota Shahbandar akhirnya menghembuskan nafas terakhir hari ini.
Pemergian tragik Ahmad Firdaus Iqbal Ahmad Ridzuan disahkan oleh bapanya, Ahmad Ridzuan Supian, 36, selepas tular poster pemakluman daripada pihak sekolah serta perkongsian waris terdekat di media sosial.
“Ya,” kata Ahmad Ridzuan ringkas.
Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, jenazah Firdaus diserahkan kepada waris pada jam 12.05 tengah hari sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor untuk urusan pengebumian.
Terdahulu, dalam kejadian pada Ahad lalu, mangsa dipercayai lemas ketika berada di kolam renang sebuah kondominium yang dijadikan rumah inap sempena percutian keluarga.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki tidak sedarkan diri selepas dikeluarkan dari kolam oleh orang awam. Pasukan bomba segera memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum mangsa dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans,” katanya.
Namun, Firdaus yang dirawat di ICU Kanak-Kanak berada dalam keadaan kritikal akibat kegagalan fungsi otak dan bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.