KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi, menafikan dakwaan wujud rundingan sulit antara pemimpin UMNO dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu.
Sebaliknya, Puad mendedahkan bahawa Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang terlebih dahulu menghantar orang tengah bertemu wakil UMNO dan menawarkan jawatan Perdana Menteri sekiranya parti itu menyokong pembentukan kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’.
“Tetapi idea itu tidak pernah dibawa atau dibincangkan dalam MKT. Kalau dibawa sekalipun, saya akan jadi orang pertama menentang sekeras-kerasnya,” katanya dipetik Sinar Harian.
Kenyataan itu sebagai respons kepada pendedahan Tuan Ibrahim semalam bahawa terdapat wakil UMNO mengadakan pertemuan sulit dengan pimpinan PN untuk menyertai gerakan rentas parti diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tuan Ibrahim turut dilaporkan mengalu-alukan mana-mana pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati agar menyertai PN.
Namun Puad menegaskan, UMNO tidak akan ‘masuk lubang biawak’ buat kali kedua, merujuk kepada kerjasama lalu bersama PAS dan Bersatu yang membentuk kerajaan pada Mac 2020 selepas kejatuhan Pakatan Harapan.
“Tuan Ibrahim tahu sangat, UMNO takkan terjebak semula. Semua ini cuma satu perangkap,” tegasnya.
Menurut Puad, kerjasama antara UMNO, PAS dan Bersatu sudah tidak relevan, apatah lagi selepas pengalaman pahit yang lalu.
“Kerjasama UMNO-PAS, apatah lagi dengan Bersatu, hanya mimpi di siang hari,” katanya lagi.