“Pembunuh Anak Saya Masih Bebas” – Bapa Zayn Rayyan

PETALING JAYA: Zaim Ikhwan Zahari, bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, meluahkan rasa kecewa terhadap pihak polis berhubung siasatan kes kematian anaknya yang masih belum menemui titik noktah, walaupun lebih setahun telah berlalu.

Menurut Zaim, beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa namun pembunuh anaknya masih belum ditangkap.

“Saya kecewa dengan pihak polis. Saya beri kepercayaan sepenuhnya untuk mereka tangkap pembunuh… tapi sampai sekarang pembunuh anak saya masih bebas.

““Inikah hasilnya? Sepatutnya pertuduhan ini tak wujud. Semua ini mengarut,” katanya dengan nada kesal ketika ditemui media di luar Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Zaim daripada tuduhan mengabaikan Zayn.

Namun, isterinya Ismanira Abdul Manaf diperintah untuk membela diri, selepas mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap beliau.

Ismanira memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh dan prosiding perbicaraan bersambung sehingga Khamis ini.

Pasangan itu dituduh mengabaikan Zayn, seorang kanak-kanak autistik berusia enam tahun dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal antara 5 hingga 6 Disember 2023, iaitu dari waktu kehilangan sehingga penemuan mayatnya.

Mayat Zayn ditemui di sebuah anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles