KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ke-8, Marzuki Mohamad tampil mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada dakwaan kononnya Presiden Perikatan Nasional (PN) itu memandang rendah terhadap UMNO semasa rundingan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Marzuki menafikan dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dibuat menerusi sebuah podcast baru-baru ini.
“Saya bukan setakat ada kaki dalam rundingan tersebut, malah seluruh tubuh badan saya berada di situ dari awal hingga ke akhir rundingan,” tegasnya.
Menurut Marzuki, sepanjang rundingan tersebut, Muhyiddin tidak pernah memperkecilkan UMNO.
Sebaliknya, perbincangan antara PN dan Barisan Nasional (BN) berlangsung dalam suasana yang baik dan profesional.
Beliau turut menekankan bahawa dalam mana-mana rundingan politik, tawaran adalah lumrah.
Ketika itu, delegasi BN datang membawa tawaran bahawa semua Ahli Parlimen BN bersedia memberikan sokongan en-bloc kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sebagai balasan, PN mengemukakan tawaran-tawaran termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN, agihan jawatan Kabinet berdasarkan jumlah kerusi Parlimen dimenangi dan beberapa syarat lain yang dianggap munasabah.
“Siapa yang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dari BN tidak ditentukan ketika itu. Ia perlu dirunding antara Perdana Menteri dan pimpinan BN,” jelas Marzuki.
Di akhir rundingan, delegasi BN yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta agar semua tawaran yang dibincangkan dibuat secara bertulis untuk dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam 23 November 2022.
“Saya fikir ketika itu tidak ada sebab untuk UMNO menolak tawaran tersebut. Terma-terma yang dibincang dilihat munasabah dan telah dipersetujui secara dasarnya. Ia hanya memerlukan pengesahan MKT,” kata Marzuki.
Namun, beliau mengakui terkejut apabila membaca kenyataan media lewat malam tersebut bahawa UMNO telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN dan sebaliknya memilih untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).
“Saya tidak pasti sama ada kandungan surat tawaran itu dibentangkan atau tidak dalam mesyuarat MKT UMNO,” tambah beliau.
Terdahulu, Rafizi mendakwa dalam satu podcast bahawa PN tidak pernah membuat sebarang tawaran rasmi kepada BN selepas PRU15.
Beliau juga mendakwa Muhyiddin bersikap angkuh dan meremehkan UMNO dalam rundingan tersebut.